Sunday, January 24, 2010

DEMONSTRASI JALANAN

Assalamualaikum & Salam Satu Malaysia:

Hari ini merupakan catatan sejarah hitam bagi penghuni KSJ apabila ada di kalangan sahabat-sahabat kita yang terlibat dengan demonstrasi jalanan dan ditangkap oleh pihak berkuasa.

Saya berasa amat sedih dan kecewa kerana ada segolongan kecil di antara kita yang masih enggan mendengar nasihat dan teguran dari pihak universiti berhubung perkara ini. Saya amat yakin sekiranya ibubapa pelajar berkenaan tahu akan perkara begini, sudah pasti ianya mengundang kerisauan dan kesedihan yang amat mendalam. Sebagai seorang ayah kepada enam orang anak, saya juga dapat merasakan kerisauan, kesedihan dan kekecewaan tersebut.

Sekiranya mahasiswa/siswi ingin sangat berpolitik, tunggulah sehingga anda tamat pengajian. Tiga tahun bukannya lama. Selagimana anda berada di universiti, selagimana anda masih di bawah kawal-selia ibubapa, seharusnya anda bertindak lebih bijak dan elakkan daripada terjebak dengan perkara-perkara yang bakal mengundang padah. Ini semua akan membantutkan dan menghancurkan hasrat dan harapan keluarga. Anda perlu ingat akan niat asal anda datang dan berada di UTM dan pesanan mak dan ayah sebelum mereka melangkah kaki keluar dari kawasan kampus. Saya percaya, tidak seorang pun daripada mak atau ayah berpesan agar anda berdemonstrasi di jalanan.

Bagi sahabat-sahabat yang lain, saya menyeru dan memohon kerjasama agar tidak lagi terlibat dengan perbuatan yang boleh mendatangkan bencana kepada diri, keluarga dan universiti.

UTM kini dalam usaha untuk menaikkan nama di persada dunia. Jangan pula kita menjadi ejen-ejen kepada pemusnahan usaha murni ini. Jangan pula kita dituduh di kemudian hari oleh teman-teman kita yang lain sebagai pengkhianat universiti dan seterusnya pengkhianat kepada warga kampus. Jangan pula kerana kita, yang lain pun disabitkan juga sebagai kumpulan yang tidak baik .

Akhir kata, saya doakan mudah-mudahan dua orang sahabat kita yang kini berada di lokap IPD Dang Wangi dipelihara dan diberi kekuatan oleh Allah swt. Harapan saya jangan ada lagi mahasiswa/siswi UTM bertindak kurang bijak dan melulu untuk meluahkan ketidakpuasan hati.

WASSALAM

Monday, January 18, 2010

Cerobohan Blok A

Assalamualaikum:

Mudah-mudahan semua warga Blok A di dalam keadaan sejahtera dan ceria selalu. Kebelakangan ini saya terima beberapa aduan daripada penghuni-penghuni siswi berhubung siswa yang berada di bilik-bilik siswi.

Saya difahamkan bahawa siswi dari negara China dan Iran membawa siswa dari negara mereka memasuki bilik atas alasan yang pelbagai. Perbuatan serupa itu amat saya risau dan memandang serius kerana ia melibatkan keselamatan siswi sekalian.

Jika terdapat lagi perkara begitu berlaku, harap maklumkan kepada saya atau mana-mana felo secepat mungkin bagi tindakan selanjutnya tangkas dan cepat diambil. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas siswa dan siswi terbabit.

Saya mohon kerjasama semua pihak, khususnya ketua-ketua blok untuk memantau perkara begini. Moga tempat kita ini bersih dari perkara-perkara yang boleh mencemar nama baik universiti dan kita sebagai warga UTMIC.

Wassalam.

Friday, January 15, 2010

Coffee & Snack

Assalamualaikum:

Dalam usaha untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada mahasiswa, pihak KSJ sekarang dalam proses menyediakan kiosk, Coffe & Snack, di bawah tangga blok B. Kiosk ini adalah bertujuan bagi menyediakan makanan panas kepada mahasiswa dari 9 malam hingga 1 pagi. Insyaallah, kiosk ini akan mula beroperasi di awal bulan Februari.
Ia akan menyediakan, insyaallah :

i) pau panas
ii) corn in a cup
iii) nasi lemak panas
iv) sandwich
v) roti arab
vi) nugget & french fries
vii) kopi & teh panas

Dengan kewujudan kiosk ini, mudah-mudahan para mahasiswa tidak lagi perlu untuk keluar mencari makan selepas pukul 12 tengah malam. Dengan ini dapat kita elakkan daripada kejadian yang tidak diingini.

Menjelang Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa

Assalamualaikum wrt.wbt:
Terlebih dahulu saya mendoakan mudah-mudahan semua warga KSJ di dalam peliharaan Allah swt.
Berhubung pemilihan majlis perwakilan mahasiswa bagi tahun 2010, saya amat berharap agar semua pelajar menghadapi dan menyambut proses pemilihan ini dengan tenang dan penuh sabar. Saya, bagi pihak UTM International Campus, amat berharap akan kerjasama dari semua pihak moga tiada sebarang insiden dan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Sebagai seorang yang berpendidikan dan intelek, saya yakin dan taruh penuh kepercayaan, mahasiswa UTMIC tidak akan terlibat dengan insiden yang akan mencemar nama baik universiti. Mari kita sama-sama elakkan daripada perkara-perkara yang bakal mengundang persepsi buruk ke atas universiti dan seterusnya kepada mahasiswa sendiri. Setiap action akan ada reaction.
Sepertimana juga keadaan dan suasana di rumah kita, KSJ dan universiti juga memang tidak sempurna dan perfect. Tapi saya percaya pihak pengurusan KSJ dan universiti telah cuba melakukan yang terbaik untuk mahasiswa di samping kekangan-kekangan yang dihadapi.
Mari lah kita bangunkan KSJ dan universiti ini bersama-sama di dalam suasana yang tenang dan harmonis demi kebaikan semua mahasiswa. Marilah kita julang nama UTMIC ini melalui kecemerlangan akademik, sukan dan program-program University Social Responsibility.

Thursday, January 07, 2010

Terima Kasih.

Assalamualaikum wrt wbt

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Kediaman Siswa Jaya & warga mahasiswa UTM khusus di Kediaman Siswa Jaya yang memberi sokongan padu kepada saya selaku nahkoda di sini. Tanpa anda semua, saya mungkin tidak mampu untuk menjaga keseluruhan komuniti KSJ.

Saya bersyukur kepada Allah swt kerana diberi peluang dan ruang untuk bertemu di alam maya yakni informasi tanpa sempadan ini. Dengan bantuan rakan-rakan, saya dapat membuat satu blog ini untuk dikongsi semua. Insya-allah, saya akan cuba sentiasa akan mengemaskini blog disamping warga KSJ boleh berinteraksi untuk memberi pandangan, cadangan serta komen yang membina. Diharapkan, kita dapat sama mendapat manfaat dengan blog saya ini. Elakkan komen-komen yang berbentuk yang kurang sopan dan sebagainya yang tidak sesuai sebagai warga yang berpendidikan dan berprofesional.

Warkah ini juga saya panjangkan kepada Jawatankuasa Felo KSJ yang sama-sama bersusah payah membangunkan KSJ. Insya-Allah, sama-sama kita merencanakan visi dan misi KSJ setanding dengan kediaman-kediaman di UTM. Saya yakin dengan gabungan kepakaran felo dan pembantu felo, visi dan misi KSJ akan tercapai. Selain daripada itu juga, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Kediaman Siswa Jaya 2010/2011 yang baru, laksanakan tanggungjawab anda sebagai pemimpin. Jangan jadikan jawatan yang disandang untuk dimegah-megah dan dibangga-bangga. Bekerjalah bersama-sama dan merancang segala aktiviti dengan tersusun, sistematik, efisien, inovatif dan kreatif. Disinilah anda semua bermula untuk menjadi pemimpin bilamana tamat pengajian. Elakkan menjadi pemimpin yang tiada misi dan visi.

Sebelum saya megakhiri , kepada semua warga KSJ diharapkan sama-sama memberi kerjasama kepada pihak pengurusan KSJ & JKM yang melaksanakan program. Gunakan peluang dan ruang yang disediakan oleh KSJ untuk memajukan diri bukan sahaja dalam akademik malah dalam berorganisasi juga penting sebagai persediaan anda semua melangkah ke alam pekerjaan suatu hari nanti. Insya-allah.

Sekian, terima kasih.

Selamat Tahun 2010

Assalamualaikum wrt

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat ilahi kerana diberi peluang untuk sampai ke tahun 2010.

Setiap kali tiba tahun baru, maka kita berkesempatan melakukan dua perkara; merenung kembali apa yang sudah kita usahakan sepanjang tahun yang bakal berlalu pergi serta menetapkan matlamat baru mahupun menjayakan apa yang belum kita capai.

Tahun 2009 merakamkan beberapa peristiwa yang sukar saya lupakan buat selama-lamanya sebagai Pengetua Kediaman Siswa Jaya (KSJ) iaitu kematian Allayarham Saudara Mohd Khalis dan beberapa perkara lain. Saya sedaya upaya selaku pengetua melakukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar KSJ. Saya juga merakam terima kasih kepada Felo-felo, Pembantu Felo, Staff Kediaman KSJ, Jawatankuasa Kediaman dan lain-lain membantu saya melaksanakan program aktiviti dan menguruskan KSJ dengan baik. Saya berharap kerjasama sebegini akan diteruskan bagi kepentingan semua pihak.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010 kepada semua mahasiswa UTM amnya dan khususnya Mahasiswa Kediaman Siswa Jaya.

Selamat Tahun Baru 2010

EN NOH MUHAMAD ADLAN